Thursday, 27 October 2016

Adakah aset ketenteraan Malaysia mampu melindungi keselamatan dan/atau mendatangkan ancaman kepada negara lain?

Latar Belakang Persoalan
Antara soalan yang sering diutarakan mengenai aspek ketenteraan Malaysia ialah adakah ia setanding dengan negara-negara lain terutamanya Singapura. Jika terjadinya perang, mampukah Malaysia memenangi perang tersebut? Dalam hal ini, perbahasan di bawah hanya menjurus kepada tahap kesediaan Malaysia menghadapi situasi darurat seperti perang dengan hanya merujuk kepada aset ketenteraan yang dimiliki. Adakah aset ketenteraan Malaysia mampu melindungi keselamatan dan/atau mendatangkan ancaman kepada negara lain?

Perbahasan
Keampuhan dan kekuatan aset sesebuah negara dalam perang boleh dilihat berpandukan kekuatan yang dimiliki dalam tiga lapangan iaitu darat, udara dan air. Biasanya, serangan akan dicetuskan oleh udara ataupun air sebelum diakhiri dengan pertempuran darat. Negara yang menyerang akan cuba mendapatkan kawalan udara sepenuhnya (air supremacy), kawalan lautan sepenuhnya (command of the sea) ataupun kedua-duanya sekali sebelum melancarkan operasi daratan bagi mencapai objektif kawalan sepenuhnya ke atas negara berkenaan. Oleh itu, mempunyai aset paling ampuh dalam misi mencapai air supremacy dan command of the sea akan menjadi kelebihan utama bagi negara penyerang.

Pada saat ini, pesawat yang dilihat paling penting bagi mencapai air supremacy adalah dari keluarga pesawat tempur. Pesawat tempur tercanggih adalah daripada generasi kelima seperti Lockheed Martin F-22 Raptor dan Lockheed Martin F-35 Lightning. Pesawat tempur tercanggih Malaysia adalah Sukhoi Su-30MKM. Pada tahun 2007 iaitu ketika pesawat ini tiba di Malaysia, ia merupakan pesawat tempur tercanggih di Asia Tenggara. Sebagai perbandingan dengan F-22 dan F-35, Su-30 dianggap sebagai pesawat tempur generasi 4.5 (4+). Selain Su-30, Malaysia turut mempunyai Boeing F/A-18 Hornet, Mikoyan MiG-29, BAE Hawk, Northrop F-5 dan Aermacchi MB-339. Singapura pula memiliki F-5, Boeing F-15E dan F-16 Fighting Falcon. Secara kasar, Malaysia memiliki kelebihan berbanding Singapura kerana memiliki Su-30 yang lebih canggih daripada F-16. Walau bagaimanapun, jumlah keseluruhan pesawat tempur yang dipunyai Malaysia adalah 55 buiah, jauh lebih rendah berbanding Singapura yang memiliki 119 buah pesawat. Sebagai pengiraan mudah, jumlah pesawat tercanggih Singapura iaitu F-16 adalah 60 buah iaitu lebih banyak berbanding kesemua pesawat yang dimiliki Malaysia. Jadi, secara keseluruhannya, Singapura dilihat lebih ampuh berbanding Malaysia.

Rajah 1. Pesawat tempur Malaysia dan Singapura (Sumber: Flight International 2016)


Walaupun Singapura memiliki kelebihan dari segi mutu dan saiz aset udara, ini tidak bermakna ia memiliki kelebihan dalam situasi perang sebenar. Situasi perang sebenar melibatkan banyak faktor lain seperti keampuhan aset darat dan air, keadaan geografi, perisikan dan operasi sulit, perang psikologi, ekonomi dan sumber manusia. Mengambil keadaan geografi sebagai contoh, pertempuran udara akan menjadi lebih dinamik seperti persoalan tentang keupayaan negara-negara untuk menguasai saiz medan pertempuran. Sebagai contoh, saiz Singapura yang kecil memberi kelemahan dan kelebihan ketika bertahan. Oleh kerana pesawat-pesawat ini hanya dapat beroperasi jika mempunyai pangkalan tentera, saiz kawasan yang kecil memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menyerang nadi pasukan udara Singapura itu. Pada masa yang sama, saiz yang kecil ini memberi peluang kepada Singapura untuk memusatkan sistem pertahanan bagi menghalang serangan ke atas pangkalan-pangkalan ini.

Saiz Malaysia yang besar pula yang boleh menempatan pangkalan udara di seluruh negara memberi kesukaran kepada Singapura untuk menumpaskan pasukan udara Malaysia secara serentak. Hal ini bukan sahaja memberi risiko kepada pesawat-pesawat penyerang yang terpaksa terbang melalui kawasan muka bumi yang luas, tetapi juga memerlukan tempat untuk mengisi semula bekalan seperti bahan api dan peluru. Pada masa yang sama jika serangan dibuat, Singapura tidak mungkin dapat memfokuskan kepada aspek pertahanan di pulau. Hanya disebabkan faktor muka bumi ini, Malaysia boleh dikatakan selamat kerana Singapura tidak mungkin akan menyerang tanpa sebab yang kukuh atau kelengkapan secukupnya. Dengan erti kata lain, Singapura akan lebih selamat juga berada dalam posisi bertahan dan berada keadaan risiko tinggi jika menyerang.

Perbahasan ini membuat kesimpulan bahawa Singapura sememangnya mempunyai aset udara lebih unggul berbanding Malaysia namun tidak semestinya boleh memenangi perang dengan Malaysia. Malah, disebabkan faktor fizikal Malaysia yang bukan sahaja memiliki wilayah yang luas tetapi juga wilayah ini terbahagi dua kepada Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, ia memberi kelebihan pertahanan dan penyerangan semula jadi terutama terhadap musuh yang lebih kecil. Sudah tentu faktor-faktor lain perlu diambil kira jika pemenang secara teori ingin ditentukan. Apa yang pasti aset udara Singapura sememangya lebih unggul berbanding Malaysia. 

No comments:

Post a Comment