Friday 3 June 2016

KESAHAN TUNTUTAN SABAH OLEH FILIPINA

1.0 PENGENALAN

Isu tuntutan ke atas Sabah kembali menjadi tumpuan apabila bakal Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata "I'll stick to our claim," ketika ditanya pendiriannya terhadap tuntutan ke atas Sabah (Romero 2016). Filipina tidak pernah melupakan hasrat untuk mendapatkan kembali sebahagian Sabah sejak wilayah itu diserahkan kepada kerajaan Filipina oleh Sultan Sulu pada 24 April 1962 (Official Gazette t.t). Terdahulu iaitu pada 22 Januari 1958, Sultan Mohammad Esmail Kiram telah menamatkan pajakan Borneo Utara yang diberikan kepada Baron de Overbeck dan Alfred Dent (Official Gazette t.t). Tuntutan ke atas Sabah berkisar tentang pajakan Sulu yang ditamatkan ini seterusnya menjadi hak kepunyaan mereka. Hak ini kemudiaannya diserahkan kepada Filipina setelah Sulu dikuasai kerajaan Filipina.

Malaysia pula menegaskan tuntutan ini adalah tidak berasas kerana menganggap bahagian utara dan timur Borneo itu diserahkan kepada Overbeck dan Dent dan bukannya pajakan seperti yang didakwa. Pemahaman Malaysia ini diambil berdasarkan pemahaman British yang mentadbir kawasan terbabit sehinggalah ia dimasukkan ke dalam Persekutuan Malaysia. Pendirian ini kemudiaanya dikukuhkan dengan dapatan Suruhanjaya Cobbold 1962 dan Misi PBB 1963 yang melaporkan kemahuan rakyat di Borneo Utara dan Sarawak untuk menyertai Malaysia. Oleh itu, Malaysia mendakwa tuntutan Sabah oleh Filipina adalah tidak berasas dan Sabah secara sah milik Malaysia sejak 1963.

Meskipun Malaysia mendakwa tuntutan tersebut adalah tidak berasas, namun isu ini memberi kesan yang besar jika dilihat kepada peristiwa pencerobohan Lahad Datu oleh Sulu pada Februari 2013. Selain itu, pendirian Duterte itu dianggap serius dan wajar untuk diberi perhatian kerana kapasitinya sebagai bakal ketua negara yang boleh memberi kesan drastik kepada polisi kerajaan. Untuk itu, adalah mustahil bagi Malaysia untuk memencilkan isu ini begitu sahaja.

Artikel ini berhasrat untuk meneliti isu tuntutan Sabah oleh Filipina dan memberikan pandangan bebas bagi tujuan maklumat awam atau pembelajaran. Sebagai permulaan, kajian ini ingin memperkenalkan Sabah yang ada pada hari ini.


2.0 SABAH HARI INI

Sabah merupakan sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Ia terletak di bahagian utara pulau Borneo dan bersempadan dengan Sarawak dan Indonesia. Ia turut mempunyai sempadan laut dengan Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Brunei, Filipina dan Indonesia. Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan 72,500 km2 dan negeri ketiga terbesar populasi iaitu kira-kira 3.5 juta orang. Pusat pemerintahan dan pentadbiran negeri terletak di ibu negeri bernama Kota Kinabalu. Sabah mendapat jolokan "Negeri di bawah bayu."

       Rajah 1. Bahagian-bahagian dan Daerah-daerah di Sabah

Sabah mempunyai 7 buah bahagian iaitu Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Pantai Barat (Selatan), Pantai Barat (Utara), Sandakan dan Tawau. Bahagian-bahagian merangkumi 25 daerah. Terdapat juga daerah kecil di dalam suatu daerah (Jabatan Tanah dan Ukur Sabah 2016).

Penggunaan nama Sabah dan Borneo Utara membawa maksud kawasan yang berbeza-beza bergantung pada perspektif dan tempoh waktu. Sebagai contoh, Nama Sabah telah lama wujud iaitu sebelum kedatangan British lagi. Dalam peta-peta yang dikeluarkan SBBU umpamnya, nama Sabah sering kali digunakan meskipun kawasan ini secara rasminya dipanggil North Borneo atau Borneo Utara dalam Bahasa Melayu. Sabah, North Borneo atau Borneo Utara merujuk kepada kawasan yang lebih kecil berbanding Sabah pada hari ini. Pada peringkat permulaan, wilayah utara dan timur Borneo ini dipanggil Sabah, North Borneo atau Borneo Utara iaitu kawasan yang dimaksudkan oleh Perjanjian 1877 mahupun 1878.

Dalam Perjanjian 1877, Sultan Brunei menyerahkan bahagian utara Borneo iaitu dari Sungai Sulaman di sebelah barat hingga Teluk Marudu dan ke Sungai Pitan serta semua kawasan di sebelah timur hingga Sungai Sibuku. Kawasan ini meliputi jajahan-jajahan atau negeri-negeri Pitan, Sugut, Banggai, Labuk, Sandakan, Kinabatangan, Mumiang dan lain-lain kawasan sehingga ke Sungai Sibuku. Turut disebut secara spesifik kawasan jajahan Kimanis, Binuni, Papar, Teluk Gaya, Teluk Sanggar dan Pulau Banggi. Perjanjian 1878 pula menyebut kawasan dari Sungai Pandasan sehingga ke seluruh kawasan pantai timur dan Sungai Sibuku di selatan. Kawasan ini termasuklah negeri Paitan, Sugut, Bangaya, Labuk, Sandakan, Kinabatangan dan Nuniang serta pulau-pulau di dalam tiga liga laut.

Rajah 2. Anggaran had sebelah barat pajakan Brunei dan Sulu kepada Overbeck dan Dent.

Setelah itu, Sabah memperluaskan wilayahnya meliputi kawasan-kawasan di bawah Kesultanan Brunei iaitu kawasan sekitar Putatan, Padas, Kawang dan Pulau Mantanani dan Labuan. Sempadan Sabah kemudiaan ditetapkan menerusi pelbagai perjanjian persempadanan lain seperti the London Convention 1891Joint Commissioners Report 1913Agreement between the United Kingdom and the Netherlands 1915 dan Convention between ... the United Kingdom and ... the Netherlands ... 1928 (Department of State 1965). Akhirnya, sempadan Sabah ditetapkan oleh penyertaannya dalam Malaysia. Pada 1984, Labuan dikeluarkan dari Sabah dan menjadi Wilayah Persekutuan. Sejak itu, wilayah Sabah kekal sehingga sekarang. 


3.0 LATAR BELAKANG TUNTUTAN

3.1 Sabah Sebelum 1878

Tuntutan wilayah mestilah dilihat pada konteks sejarah. Melalui sejarah, aspeks perundangan dan moraliti lain dapat diperhalus bagi membuat keputusan atau hujah akan sesuatu. Begitulah halnya dalam kes tuntutan Sabah. Status hak milik Sabah mestilah bermula dengan melihat garis waktu dan penjelasan sejarah.

Tahun 1678 merupakan garis masa penting terawal dalam isu ini kerana pada saat ini Sulu mendakwa memperoleh bahagian utara dan timur Borneo daripada Brunei sebagai hadiah kerana membantu Sultan Muhyiddin dalam perang saudara yang berlangsung sekitar kurun ke-17 (http://royalsultanate.weebly.com/) . Oleh itu, adalah selamat untuk mengatakan bahawa tidak ada kuasa lain di Sabah selain Brunei sebelum 1678 dan Sulu hanya muncul dalam sejarah Sabah bermula pada tahun 1678. Selain tahun 1678, terdapat juga pandangan yang mengatakan penyerahan ini dibuat pada tahun 1704. Ismail Ali (2014) menggunakan tahun 1704 sebagai penyerahan sebahagian jajahan Brunei iaitu dari Kimanis hingga Sungai Sibucu kepada Sulu.

Artikel yang ditulis Rozan Yunos dalam The Brunei Times bertajuk "Sabah and the Sulu claims" pula menghujah bahawa walaupun Sultan Muhyiddin ada berjanji akan "habuan Sabah" itu tetapi janji ini tidak ditunaikan disebabkan Sulu tidak membantunya meskipun telah sampai ke Pulau Keingaran mendekati Pulau Cermin, kubu Sultan Abdul Mubin. Oleh itu, Sabah tidak pernah diserahkan kepada sesiapa dah kekal menjadi milik Brunei. Pendirian Brunei dalam hal ini terbukti apabila Perjanjian 1877 (Rajah 3) yang menyaksikan Sultan Brunei ke-24, Sultan Abdul Momin melantik Baron de Overbeck sebagai Maharaja Sabah, Raja Gaya dan Sandakan.

Rajah 3. Sultan Brunei (Abdul Mumin) melantik Baron de Overbeck menjadi Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan pada 29 haribulan Disember, 1877.

Terjemahan rumi yang diambil dari https://wikisource.org/wiki/Surat_Kuasa_Sultan_Brunei_kepada_Baron_de_Overbeck adalah seperti berikut;

"Kepada segala bangsa yang ada di atas bumi dan [kepada barang yang akan] datang perkara yang tersebut di atas ini bahawasanya adalah kita Seri Paduka Mawlana bawah Duli Yang Dipertuan al-Sultan Abd al-Mu'min ibn al-Marhum Seri Paduka Mawlana Abd al-Wahhab yang mempunyai kuasa dan perintah dalam Negeri Berunai Dar al-Salam serta sekelian daerah takluknya empunya titah bahawasanya adalah kita telah memajakkan kepada sahabat yang kepercayaan dan kekasih kita yang bernama Tuan Gustabs Barun di Ubarbik dan kepada Alfarid Dint Askuwir dengan sahnya akan tanah-tanah yang dalam kerajaan kita iaitu semuanya tanah-tanah yang di sebelah utara Pulau Berunai dari Sungai Sulaman di sebelah barat sampai di Teluk Marudu dan ke Sungai Pitan serta semuanya yang di sebelah timur sampai di Sungai Sibuku iaitu jajahan-jajahan atau negeri-negeri Pitan dan Sugut dan Banggai dan Labuk dan Sandakan dan Cinabatangan dan Mumiang serta lain-lain tanah sampai di Sungai Sibuku dan lagi jajahan Kimanis dan Binuni dan Papar serta jajahan-jajahan di Teluk Gaya dan di Teluk Sanggar serta dengan segala tanah-tanah dan pulau-pulau yang termasuk dalamnya itu dan lagi Pulau Banggi karena sebab daripada hasil pajakan yang telah kita tentukan. Bahawasanya adalah Tuan Gustabs Barun di Ubarbik itulah menjadi kepala dan wali atas Kompeni dalam Pulau Berunai. Maka sekarang ini ketahuilah oleh sekelian orang maka adalah kita bawah Duli Yang Dipertuan al-Sultan Abd al-Mu'min ibn al-Marhum Seri Paduka Mawlana Abd al-Wahhab sultan dalam Negeri Berunai telah menjadikan dan menentukan Tuan Gustabs Barun di Ubarbik yang tersebut itu Seri Maharajalela atas sekelian tanah-tanah itu dan digelarkan akan dia Maharaja Sabak (Sabah) dan Raja Gaya dan Sandakan dengan sepenuh-penuh kuasa hidup dan mati di atas segala orang isi negeri-negeri itu serta di atas segala perkara-perkara yang kita punya dan di atas hasil negeri-negeri itu dan ada berkuasa akan menyewakan tanah-tanah itu dan lagi atas bendah-bendah yang dalam tanah dan atas tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang serta boleh pula mengadakan hukum-hukum dan membuat wang dan membuat dan menaruh soldadu dan kapal-kapal perang dan mengadakan cukai atas dagangan dalam negeri itu dan atas dagangan lain-lain bangsa asing dan lain-lain cukai dan biya atas orang-orang negeri itu seperti yang difikirkannya patut dan harus bersama-sama dengan sekelian kuasa yang berpatutan yang dilakukan oleh sekelian raja-raja yang memerintah. Maka kita sudah anugerahi dan serahkan semuanya itu dengan suka ripa kita sendiri. Maka inilah kita menyatakan kepadaa bangsa-bangsa asing maka seperti kita telah mengadakan perjanjian sahabat bersahabat dengan perhubungan adalah kita [beri maklumkan] dari hal Maharaja yang tersebut itu seperti diri kita sendiri dalam negeri-negeri yang tersebut di atas ini dan menghormati kuasanya. Maka jikalau datang maa sha Allah sesuatu ke atasnya dan ia berhenti daripada pekerjaannya menjadi maharaja itu maka kemudian wakilnya yang dengan sepatutnya dalam jawatan itu menjadi gabernor di atas jajahan-jajahan dalam Pulau Burniu akan menjadi gantinya iaitu Maharaja Sabak dan Raja Gaya dan Sandakan serta memigang sekelian kuasa yang tersebut di atas ini yang telah diadakannya itu. Demikianlah adanya.
Termaktub surat kuasa ini dalam Negeri Berunai di [lapuh] bawah Duli Yang Dipertuan Sultan Berunai kepada 23 haribulan Dzulhijjah sanah 1294 iaitu kepada tahun masihi 29 haribulan Disember sanah 1877."

Selain menunjukkan bahawa Brunei menganggap utara dan timur Borneo sebagai sebahagian wilayah takluknya, perjanjian ini juga menjelaskan bahawa Brunei tidak menyerahkan kawasan ini kepada Overbeck seperti mana yang dijelaskan oleh perkataan "memajakkan." Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk mentakrifkan maksud pajakan ini disebabkan surat kuasa (Rajah 2) ini nyata sekali memberi kuasa mutlak kepada Overbeck termasuklah perihal pegantinya. Di samping itu, jumlah bayaran dan tempoh ke atas pajakan ini tidak dinyatakan. Adalah dipercayai wujudnya perjanjian lain yang mencatatkan perihal nilai dan tempoh pajakan ini. Nilai $12,000 yang digunapakai oleh kebanyakan pengkaji boleh didapati dalam Piagam British North Borneo 1881.

Tiada bukti kukuh seperti surat perjanjian untuk mengatakan Sabah diserahkan kepada Sulu oleh Sultan Muhyidin akibat Perang Saudara. Namun begitu, menurut Rozan Yunos (2008), novel Mahkota Berdarah tulisan Yura Halim merupakan satu-satunya bahan tulisan yang menceritakan tentang Perang Saudara Brunei yang berlaku pada abad ke-17 itu. Novel ini menyokong fakta bahawa Sabah telah diberikan kepada Sulu seperti mana yang dijanjikan Sultan. Sir Hugh Low dalam Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society (JSBRAS) pula menulis "by the assistance of a force from the Sultan of Soolok, the forts on the island (Pulau Cermin) were captured". HR Hughes-Hallett pula dalam Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society menulis "by the beginning of the 18th century, the kingdom (Brunei) had been territorially diminished by the cession to the Sultan of Sulu in the north." Dalam membuktikan perkara yang sama, CA Majul dalam buku berjudul Muslims in the Phillipines merujuk surat yang ditulis oleh Sultan Jamalul Azam kepada Gabenor Jeneral Sepanyol bertarikh 1879 yang antara lain menyebut bahawa kawasan dari Kimanis hingga Balikpapan membayar ufti kepada Sultan Sulu. Berdasarkan hujah-hujah ini, perjanjian berkenaan "habuan Sabah" adalah berlaku dan Sabah menjadi hak milik Sulu bermula 1678 ataupun 1704.

Bagi menangkis hujah di atas, Rozan Yunos menyenaraikan pula maklumat-maklumat lain bagi menyokong bahawa Sabah kekal milik Brunei. Bermula dengan penulisan Pehin Jamil Umar (2007) dalam Tarsilah Brunei II: Period of Splendour and Fame yang mendakwa pasukan Sulu tiba di Pulau Keingaran namun tidak membantu Sultan Muhyidin menyerang Pulau Cermin. Mereka hanya mendarat di pulau tersebut setelah pasukan Sultan Muhyidin berjaya mengalahkan pasukan Sultan Abdul Mubin. Oleh itu, Sultan Muhyidin enggan menyerahkan wilayah yang dijanjikan kepada Sulu. Bagi menguatkan dakwaan ini, Sir Stamford Raffles (1830) di dalam buku History of Java menulis "on the north-east of Borneo proper (Brunei) lies a very considerable territory (Sabah), the sovereignty of which has long been claimed by Sulu Government". Hujah ini kemudiaannya dipertahankan oleh LR Wright (1970) dalam The Origin of British Borneo yang menulis "indeed, the legitimacy of the Sulu claim to the territory (North Borneo) is in considerable doubt partly because of the unreliability of tarsilas such as 'Selesilah,' which in many cases are nothing more than written-down legends to enhance the status of the royal house which produced them. Succeeding Sultans of Brunei have denied that northern Borneo was given to Sulu, and only the weight of Sulu tradition supports the claim. The weight of Brunei tradition challenges it."

Meneliti kedua-dua hujah di atas, kita kekurangan bukti kukuh yang dapat digunakan bagi membuat kesimpulan asas mengenai status Sabah pada tahun 1678 dan mendatang. Sebagai contoh, perjanjian penyerahan Sabah kepada Sulu tidak dapat dijumpai. Oleh itu, adalah tidak munasabah untuk menyokong penyerahan ini apabila pihak Brunei tidak memperakuinya. "Tidak memperakuinya" dapat dibuktikan berdasarkan Perjanjian 1877. Tambahan lagi, wujudnya dokumen-dokumen berkisar tentang pajakan wilayah-wilayah Sabah oleh Sultan Brunei kepada individu seperti Charles Lee Moses dan W.J. Torrey. Kewujudan perjanjian pajakan ini menunjukkan kuasa Brunei ke atas Sabah selain menunjukkan Sulu tidak menjalankan kuasa mereka di sini jika wilayah terbabit kepunyaan mereka. Pada masa yang sama, perjanjian ini mengiktiraf Brunei sebagai pemegang kuasa kawasan terbabit.

Hujah yang mengatakan Brunei lebih berkuasa di sini berbanding Sulu ditentang oleh beberapa kajian yang menunjukkan perihal sebaliknya. Pada tahun 1763, wujudnya perjanjian di mana Sulu menyerahkan sebahagian wilayah di Borneo Utara kepada British sebagai membalas bantuan yang diberikan pihak British yang turut menyerang Sepanyol dan menawan Manila. Hal ini mungkin merujuk kepada Alexander Dalrymple dari Syarikat India Inggeris yang membuat perjanjian Treaty of Alliance and Commerce dengan Sulu (Hussainmiya 2006). Berdasarkan maklumat ini, Sabah menjadi milik Sulu dari 1678-1763 sebelum diserahkan kepada British. 1763 jauh lebih awal berbanding Perjanjian 1878. Penerimaan fakta ini mendatangkan dua situasi yang bercanggah. Pertama, Brunei telah kehilangan Sabah dan Sulu menjadi pemilik sah Sabah. Hal ini bermakna British tidak perlu mendapatkan Sabah daripada Brunei mahupun Sulu kerana Sabah telah diserahkan kepada British pada tahun 1763 melainkan istilah "penyerahan" ini sebenarnya merujuk kepada pemberian konsesi atau hak ekonomi eksklusif seperti mana kebiasaan yang berlaku di rantau itu.

Ismail Ali (2014) pula menyentuh soal pentadbiran ekonomi Kesultanan Sulu di pantai timur Borneo pada tahun 1704 hingga 1878 membuktikan pengaruh dan kuasa Sulu di Sabah. Keadaan ini menyokong hujah bahawa Brunei sememangnya melepaskan kuasa mereka di sini iaitu kawasan dari Kimanis hingga ke selatan Sungai Sibuku (Tregonning 1965; Osman 1985; Ariff Dato' Haji Othman 1988; Singh 1984 dan 2000). Warren (2007) turut menjelaskan bagaimana pengaruh Sulu begitu kuat di utara dan pantai timur Borneo melalui datu-datu dan sherif-sherif. Di Marudu umpamanya, kehadiran pembesar bernama Sherif Usman yang mempunyai ikatan kekeluargaan melalui perkahwinan dengan Raja Muda Sulu membuktikan pengaruh Sulu ini. Menurutnya lagi, wilayah Brunei tidak dapat melepasi kawasan Marudu. Di Sandakan pula, Sultan Sharafudin telah melantik anaknya sebagai pemerintah mulai 1791-1808 (Tregonning 1965). Di kawasan yang diberi nama Sabahan, Sultan Sulu pada ketika itu melantik anak saudaranya sebagai pemerintah (Hunt 1967). Berdasarkan kajian Warren (1981),  Ismali Ali (2014) menunjukkan wilayah dan penempatan di pantai utara dan timur Borneo yang mempunyai hubungan erat dengan Kesultanan Sulu yang berpusat di Jolo.

Dalam tempoh 1704-1877, didapati Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu merupakan kuasa politik tempatan utama di Borneo dan Kepulauan Sulu. Kuasa kedua-dua Kesultanan ini walau bagaimanpun mendapat tentangan yang hebat daripada kuasa imperial barat iaitu Sepanyol, British dan Belanda. Sebagai contoh, James Brooke berupaya untuk mendapatkan wilayah-wilayah barat daya Brunei sehingga membentuk Sarawak. Pada tahun 1846, Brooke juga telah berjaya mendapatkan Labuan bagi pihak British. Brooke juga berlayar sehingga ke Jolo dan mengadakan perjanjian dengan Sulu pada tahun 1849 (Saleeby 1908).

Pihak Sepanyol pula telah berjaya mengalahkan Sulu sehingga memaksa Sultan Mohammed Pulalun menandatangani Perjanjian 1851. Bagi pihak Sepanyol, perjanjian ini bererti Kesultanan Sulu akan menjadi sebahagian daripada Empayar Sepanyol. Dengan erti kata lain, kedaulatan Sulu sudah berakhir dan menjadi wilayah jajahan Sepanyol. Sulu walau bagaimanpun melihat perjanjian ini sebagai penyatuan dan persahabatan seterusnya bukan bermakna penyerahan kedaulatan kepada Sepanyol.

Menentukan kerajaan atau pihak mana yang berkuasa secara de jure di utara Borneo pada abad ke-17 hingga ke-19 merupakan satu tugas yang sukar. Berdasarkan kajian ini, Brunei tidak mungkin berkuasa di sini dalam tempoh terbabit. Brunei bukan sahaja mengalami kemerosotan dari segi keluasan wilayah akibat perluasan kuasa Raja Brooke, malah kelihatan tidak dapat menyaingi Sulu di pantai utara dan timur Borneo. Oleh sebab itu, penyerahan kawasan ini oleh Sultan Muhyidin kepada Sulu mungkin berlaku secara rela iaitu perjanjian ataupun secara semula jadi iaitu perluasan pengaruh dan kuasa Sulu. Oleh itu, perjanjian pajakan yang dibuat oleh Sultan Brunei dengan Moses, Torrey, Thompson dan Overbeck dilihat sebagai usaha politik Brunei bagi melemahkan kehadiran Sulu di sana dan mendapatkan keuntungan daripada nilai pajakan yang dijanjikan oleh pihak asing.

Dalam pada itu, penguasaan Sepanyol ke atas Sulu adalah tidak lengkap meskipun Perjanjian 1851 versi Sepanyol jelas menunjukkan pengiktirafan Sepanyol sebagai tuan Sulu yang baharu. Ini kerana, peperangan antara Sepanyol dan Sulu berterusan sehinggalah Sepanyol ditewaskan Amerika Syarikat. Malah usaha perang Sepanyol ke atas Sulu hanya tertumpu pada Kepulauan Sulu yang bermaksud kawasan jajahan Sulu di Borneo adalah kekal dibawah penguasaan Sulu iaitu melalui datu-datu dan sherif-sherif. Untuk itu, perjanjian 1877 tidak mendatangkan kesan kepada kedaulatan Sulu di utara Borneo kerana dibuat oleh pihak yang salah. Menyedari hakikat ini, Overbeck sekali lagi membuat perjanjian pajakan yang sama dengan Sulu pada 1878. Tanpa mengambil kira Perjanjian 1851, Sulu masih boleh menjalankan kuasa di Borneo seterusnya mengesahkan perjanjian 1878.

Seperti mana kebanyakan perjanjian lain antara Barat dan kerajaan tempatan, Perjanjian 1878 mempunyai masalah dari segi perspektif, terjemahan dan niat. Berdasarkan perjanjian pajakan sebelum ini, perspektif dan niat Overbeck adalah berbeza terutama disebabkan tempoh pajakan. Jika sebelum ni tempoh pajakan adalah sepuluh tahun dan perlu diperbaharui, Perjanjian 1877 dan 1878 memberi hak pajakan tanpa had masa. Jadi tidak hairanlah Overbeck atau pihak kerajaan British sendiri melihat perjanjian ini merupakan satu perjanjian serah kuasa kedaulatan. Berdasarkan polisi imperlisme British, adalah logik untuk mengatakan British melihat Borneo sebagai wilayah serahan (ceded territory). Malah, pihak British tidak perlu mengikut perspektif Sulu dan hanya memerlukan perspektif versi mereka disebabkan kekuatan yang ada pada British dan kesukaran bagi pihak Sulu untuk mendapatkan perjanjian yang adil. Oleh itu, terma pajakan yang digunapakai Sulu tidak memberi kesan yang kuat jika dibandingkan dengan penjajahan, perundangan dan pelaksanaan kuasa efektif British di Sabah. British juga menggunakan perjanjian ini sebagai asas untuk membuat perjanjian lain dengan pihak lain iaitu Sepanyol yang juga mempunyai perspektif dan niat berbeza dalam perjanjian 1851.

Dalam tempoh 1678 (atau 1704) hingga 1877 atau 1878, kawasan utara dan timur Borneo kelihatan lebih didominasi Sulu berbanding Brunei. Hujah berkaitan Sulu lebih kemas berbanding hujah Brunei yang bergantung pada perjanjian pajakan sekitar pertengahan abad ke-19. Meskipun kedua-dua Kesultanan mengalami saat kemerosotan pada ketika perjanjian Overbeck dibuat, namun kedudukan Brunei adalah lebih kritikal. Brunei diserang hebat oleh Dinasti Brooke sehingga terpaksa menyerahkan sebahagian besar wilayahnya. Kedudukan Brunei sudah pasti lebih parah di kawasan utara dan timur Borneo memandangkan ia mendapat tentangan daripada Sulu juga. Dalam pada itu, Sepanyol mengalami kesukaran untuk menumpaskan Sulu. Meskipun Perjanjian 1851 dilihat sebagai detik pengakhiran bagi Sulu, tiada tanda-tanda Sepanyol bersungguh-sungguh untuk meneruskan kempennya ke Borneo. Tambahan lagi, cubaan Sepanyol untuk bertapak di Borneo dihalang oleh British sepeti insiden di Sandakan. Oleh itu, kedudukan Sulu di Borneo adalah lebih kukuh. SBBU turut mengeluarkan peta yang menunjukkan kawasan Sulu di selatan Borneo Utara. Hal ini jelas menunjukkan kehadiran Sulu di sini.

Rajah 4. Peta Pulau Borneo menunjukkan Kesultanan Sulu (kuning) di selatan Borneo Utara.

Rajah 5. Sultan Sulu (Jamalulazam) melantik Baron de Overbeck menjadi Dato Bendahara dan Raja Sandakan pada 22 haribulan Januari, 1878.

3.2 Sabah Selepas 1878

Pada tahun 1878, keadaan politik di rantau ini adalah seperti berikut;
1. Brooke meluaskan wilayah Sarawak sehingga ke Bintulu (Hussainmiya 2006).
2. Brunei menyerahkan Labuan kepada British pada 1846. Pada tahun 1847, Brunei menandatangani perjanjian dengan British yang mengehadkan kuasa Brunei. Penting bagi isu tuntutan Sabah, perjanjian ini mengehad kuasa Sultan untuk mengadakan hubungan dengan negara lain ataupun menyerahkan wilayahnya kepada negara lain (Hussainmiya 2006).
3. Sulu dan Sepanyol mengadakan Perjanjian 1851 yang mengehadkan kuasa Sultan bagi mengadakan hubungan dengan negara lain ataupun menyerahkan wilayahnya kepada negara lain (Saleeby 1908).

Jika kawasan utara dan timur Borneo berada di bawah penguasaan Brunei, British tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan wilayah terbabit secara mutlak seperti mana yang berlaku di kebanyakan wilayah-wilayah Sarawak dan Labuan. Malah, Perjanjian 1847 jelas menunjukkan Brunei berada dalam kekuasaan British. Oleh itu, terdapat juga kemungkinan perjanjian pajakan yang dibuat sebelum 1877 berlaku disebabkan ianya perjanjian persendirian yang memfokuskan kepada ekonomi semata-mata. Perjanjian pajakan Moses juga tidak dapat menjadi "usaha kononial" Amerika Syarikat kerana perjanjian tersebut diselia atau di bawah radar British. Akhirnya pada tahun 1877, British menggunakan Overbeck untuk mendapatkan tanah dari Brunei yang menjurus kepada matlamat utnuk mengwujudkan sebuah lagi wilayah jajahan Inggeris di Borneo. Disebabkan bahagian ini tidak dikuasai oleh Brunei, Overbeck perlu ke Sulu bagi mendapatkan persetujuan rasmi dari pihak Sulu. Mengetahui keadaan politik di Sulu yang didominasi Sepanyol, British mengetahui perlu juga mendapatkan persetujuan daripada Sepanyol. Walau bagaimanpun, perjanjian dengan Sulu adalah lebih mudah dan murah secara logiknya. Malah, urusan ini boleh dilakukan oleh individu persendirian (Overbeck) bagi pihak British yang mengurangkan risiko hostility dengan pihak Sepanyol. Perjanjian British dan Sepanyol pada akhirnya juga dibuat menerusi Protokol Madrid 1885 bagi mengukuhkan lagi kes British di utara dan timur Borneo.

Selain itu, kawasan pajakan yang diberikan Brunei dan Sulu adalah sedikit berbeza seperti ditunjuki Rajah 2. Sulu mungkin berkuasa di utara dan timur Borneo namun kawasan kekuasaannya adalah terhad di sekitar Marudu iaitu sekitar Sungai Pandasan. Brunei pula menyerahkan kawasan bermula Kimanis atau sekitar Sungai Sulaman yang berada sedikit ke utara Kimanis. Disebabkan itu juga, Sulu tidak memberi gelaran Raja Sabah dan Raja Gaya kerana Pulau Gaya bukan jajahan Sulu. Oleh sebab itu, terdapat kemungkinan tindakan Overbent dan Dent mendapatkan kedua-dua restu daripada Brunei dan Sulu kerana perbezaan wilayah takluk ini. Brunei mungkin mendakwa memiliki seluruh kawasan utara dan timur Borneo namun banyak bukti menunjukkan kawasan bermula Marudu sehingga ke sebelah timur adalah dikuasai Sulu. Berdasarkan maklumat ini, tindakan Overbeck dan Dent bukanlah kerana ketidakpastian namun kerana mereka mengetahui kedudukan Brunei dan Sulu lebih baik daripada Brunei dan Sulu sendiri.

Tuntutan Sabah oleh Filipina bermula pada tahap ini iaitu Perjanjian 1878 di antara Overbeck dan Sultan Sulu yang antara lain berkisar tentang perkataan "pajakan (lease)" atau "serahan (ceded/grant)." Adalah tidak mengejutkan British mendakwa wilayah utara dan timur Borneo diserahkan kepada Overbeck manakala pihak Filipina mendakwa kawasan terbabit hanya dipajakan. Perjanjian 1878 ditulis dalam Bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi. Dalam versi ini perkataan "pajakan" jelas digunakan sama seperti Perjanjian 1877 dengan Brunei. Keadaan menjadi keliru apabila wujud sekurang-kurangnya dua terjemahan Inggeris yang menterjemahkan pajakan sama ada grant/ceded atau lease. Pihak Sulu dan Filipina menggunakan terjemahan yang dibuat oleh Harold Conklin dari Universiti Yale manakala British dan Malaysia menggunakan versi W.G. Maxwell dan W.S. Gibson (Official Gazette t.t). Disebabkan perbezaan ini, maka dokumen asal (Perjanjian dalam Bahasa Melayu iaitu Rajah 5) perlu menjadi rujukan utama. Oleh itu, istilah pajakan pada dasarnya bermaksud sewaan atau pinjaman. Hal ini dapat dikukuhkan lagi menerusi British North Borneo Treaties 1881 yang meletakkan terma "pembatalan grant" yang diberikan jika pihak Syarikat British Borneo Utara (SBBU) tidak membayar pampasan yang dipersetujui selama tiga tahun berturut-turut. Ia menunjukkan grant tersebut tidak menyerahkan kedaulatan Borneo kepada pihak SBBU. Protokol Madrid 1885 dan Perjanjian Pengesahan 1903 turut menunjukkan British masih ragu-ragu akan isu kedaulatan tersebut. Berdasarkan hujah di atas, kawasan utara dan Sulu masih kekal milik Sulu selepas tahun 1878 iaitu selepas Perjanjian 1878 dibuat. Sulu hanya memberi hak pajakan kepada Overbeck dan Dent tanpa menyerahkan kedaulatan kawasan terbabit.


4.0 ANALISIS SELEPAS PERJANJIAN 1878

Sebelum Perjanjian 1877, adalah didapati kawasan utara dan timur Borneo dikuasai oleh Sulu. Pada masa yang sama, kawasan ini turut didakwa Brunei sebagai miliknya. British sepatutnya menganggap kawasan ini adalah kepunyaan Sulu berdasarkan perjanjian-perjanjian seawal yang dibuat oleh Alexander Dalrymple iaitu dari 1761-1764 (British Library 2014). Dalam tempoh 1764-1877, penglibatan Brunei di kawasan ini kelihatan tidak ketara. Meskipun tiada bukti kukuh untuk mengatakan kawasan ini diserahkan kepada Sulu oleh pihak Brunei sama ada pada tahun 1678 ataupun 1704, namun dominasi Sulu adalah jelas berbanding Brunei. Tambahan lagi, dominasi atau kuasa efektif adalah lebih utama pada ketika itu berbanding aspek perundangan. Jadi, Perjanjian 1877 adalah tidak sah. Keputusan Overbeck untuk membuat perjanjian dengan Sulu pada 1878 berada pada landasan yang betul namun penguasaan Sepanyol ke atas Sulu menimbulkan keraguan tentang hak Sulu ke atas utara dan timur Sabah. Walau bagaimanapun, Protokol Madrid 1885 dianggap menyelesaikan pertikaian British-Sepanyol di mana artikel III menyebut;

"The Spanish Government renounces, as far as regards the British Government, all claims of sovereignty over the territories of the continent of Borneo, which belong, or which have belonged in the past to the Sultan of Sulu (Jolo), and which comprise the neighbouring islands of Balambangan, Banguey, and Malawali, as well as all those comprised within a zone of three maritime leagues from the coast, and which form part of the territories administered by the Company styled the “British North Borneo Company.”

Walau bagaimanapun, "which belong, or which have belonged in the past to the Sultan of Sulu (Jolo)" dalam artikel III  menjelaskan kepada kita isu wilayah Sulu tidak lagi diselesaikan. Meskipun Sulu diletakkan di bawah Sepanyol melalui Perjanjian 1851, Sulu mendakwa wilayahnya di Borneo adalah tidak termasuk dalam perjanjian tersebut. Maka tidak hairanlah pihak Sepanyol turut mengambil pendekatan berhati-hati apabila menyebut Sepanyol hanya melepaskan tuntutan ke atas Borneo  yang dipunyai atau sebelum ini dipunyai oleh Sultan Sulu. Berhubung dengan hal ini, walaupun Sulu tidak dapat mempertahankan wilayahnya di Borneo, kehadiran pembesar-pembesar Sulu di utara dan timur Borneo masih boleh dianggap mewakili kuasa Sultan Sulu. Untuk itu, pihak Sepanyol mahupun British terpaksa berhadapan dengan pembesar-pembesar ini jika mahu mengambil alih kuasa di sini. Oleh sebab itu, Perjanjian 1878 dilihat masih berkesan untuk memberi kuasa kepada Overbeck. Overbeck dan British juga mahukan jaminan dari aspek perundangan agar pengambilalihan ini tidak menimbulkan masalah kemudian hari. Jadi sebelum 1851, status wilayah Sulu di Borneo adalah kurang jelas disebabkan wujudnya penglibatan Sepanyol. Namun setelah Protokol Madrid 1885, wilayah ini dituntut oleh British dan Sulu. Berdasarkan Piagam 1881, jelas British menganggap wilayah ini sebagai wilayah serahan (ceded territory) dan bukannya pajakan atau sewaan.

Secara perundangan, utara dan timur Borneo dari tahun 1878 berkisar tentang penggunaan perkataan serahan (grant atau ceded) dan sewaan atau pajakan (lease). Disebabkan Perjanjian 1878 yang dibuat dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Melayu adalah berbeza, status perkataan serahan dan sewaan tidak mungkin dapat memberi kesimpulan atau persetujuan kedua-dua pihak. Namun, diyakini perjanjian 1878 adalah suatu serahan wilayah dan bukannya sewaan atau pajakan. Sejak James Brooke tiba di Sarawak pada tahun 1841, Dinasti Brooke dan British aktif mengambil tanah jajahan daripada Brunei. Biasanya Sultan dan pembesar akan menerima wang pampasan daripada penyerahan ini. Hal yang sama dapat diperhatikan dalam Perjanjian 1878 versi British (terjemahan Maxwell dan Gibson). Dalam pada itu, tidak dapat dipastikan Perjanjian 1878 dalam Bahasa Melayu (Rajah 3) mencatatkan nilai $5,000 setahun. Dalam Piagam 1881 pula, wujudnya terma di mana serahan ini dibatalkan jika bayaran tidak dibuat selama tiga tahun berturut-turut.

"the Sultan should have the right to resume the control and government of the said territories if the above-mentioned annual compensation should not have been paid for three successive years"

Adakah pampasan tahunan terhadap penyerahan wilayah dapat diterima sebagai pertukaran atau urus niaga yang lengkap? Sebagai contoh pembelian secara pinjaman bank seperti rumah dan kenderaan tidak memberikan hak milik aset terbabit kepada pengguna. Hak milik kekal kepada pembeli iaitu bank yang membeli aset terbabit daripada pengeluar. Jika pengguna membeli secara ansuran, hak milik masih kekal bersama pengeluar. Dalam hal ini, adakah bayaran pampasan atau sewaan sebanyak $5,000 setahun bermakna wilayah terbabit kekal menjadi hak milik Sulu dari segi perundangan? Amerika Syarikat membeli Louisiana dari Perancis dan Alaska dari Russia pada harga $15 juta dan $7.2 juta masing-masing. Mungkinkah bayaran pampasan ini dibuat pada setiap tahun kerana penyerahan wilayah terbabit dilakukan kepada individu persendirian ataupun syarikat dan bukannya kerajaan British. Kaedah ini kelihatan sangat bijak dan licik kerana memberi peluang kepada dasar expansionism British pada risiko yang lebih rendah. Pada mulanya, pengambilalihan ini dibuat melalui agen British seperti Brooke dan Overbeck sebelum diserahkan kepada kerajaan British jika dikehendaki pada masa hadapan. Oleh itu, diperhatikan niat baik agen mahupun British bukanlah terhad kepada sewaan ataupun pajakan tetapi untuk memiliki sepenuhnya wilayah-wilayah terbabit.

Hal ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana kedaulatan (sovereignty) yang diserahkan kepada British atau wakilnya kerana terma serahan kedaultan ini adalah bersyarat sedangkan kedaulatan yang diserahkan memberikan kebebasan atau kemerdekaan sepenuhnya. Kekeliruan yang timbul dari segi; (1) tafsiran atau perkataan serahan dan pajakan, (2) nilai pajakan atau pampasan, dan (3) terma pembatalan jika tiada bayaran selama tiga tahun berturut-turut, menyebabkann status wilayah utara dan timur Borneo masih kabur. Walau bagaimanapun status ini menjadi jelas apabila British bersedia untuk memasukkan wilayah-wilayah ini ke dalam sistem protectorate atau kononi mahkota. Berdasarkan polisi pengambilalihan yang berlaku di wilayah-wilayah lain seperti di Sarawak dan Labuan, niat British di utara dan timur Borneo adalah berupa pemilikan terus bukannya sewaan atau pajakan. Tambahan lagi, mengapa British perlu memajak tanah Sulu yang sedang mengalami kekalahan?

Jika Perjanjian 1878 merupakan perjanjian pajakan, maka hak Sulu ke atas utara dan timur Sabah masih kekal. Pada masa yang sama, hak Brunei juga ke atas kawasan ini turut kekal kerana tiada bukti berlakunya penyerahan wilayah oleh Brunei kepada Sulu pada 1678 ataupun 1704, sama seperti Perjanjian 1878 di mana tidak berlaku penyerahan wilayah oleh Sulu kepada Overbeck atau British. Pada awalnya, kita merumuskan kawasan ini berada di bawah kekuasaan Sulu disebabkan pengaruh pembesar, kegagalan Brunei untuk menjalankan kuasa di sini dan pengiktirafan kerajaan luar melalui perjanjian dengan Sulu. Dengan erti kata lain, Sulu berupaya menjalankan kuasa mereka dan mempertahankan wilayah sehingga memaksa pihak lain mengiktiraf kedaulatan tersebut. Hal yang sama boleh digunakan oleh British dari tempoh 1878 sehinggalah 1963. Kuasa mereka di wialayah ini tidak dicabar atau tercabar oleh pihak lain. Sulu tidak berupaya untuk mempertahankan kedaulatan wilayahnya. Tanpa Perjanjian 1878, pendudukan British di utara dan timur Borneo merupakan suatu penjajahan. Bagi British, penjajahan ini berakhir dengan pengilhakan wilayah terbabit. Bagi Sulu, penjajahan ini boleh berakhir dengan menuntut semula wilayah terbabit sama ada melalui rundingan ataupun kekerasan. Apabila Sulu tidak mempunyai kuasa disebabkan Perjanjian 1851

Confirmatory Deed 1903 mengukuhkan lagi Perjanjian 1878 versi British. Dalam perjanjian ini, Sultan Sulu menambah pulau-pulau yang tidak dimasukkan dalam Perjanjian 1878. British menggunakan Confirmatory Deed 1903 bagi mengukuhkan lagi penyerahan wilayah pada tahun 1878. Pada masa yang sama, pihak Sulu dan Filipina menggunakan Confirmatory Deed 1903 bagi mneguatkan hujah perjanjian sewaan atau pajakan. Oleh itu, Confirmatory Deed 1903 tidak mengubah apa-apa berkenaan dakwaan kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, disebabkan Piagam 1881 telah dibuat, sepatutnya telah wujud bantahan dari pihak Sulu memandangkan Piagam 1881 hanya dibuat dalam Inggeris iaitu penggunaan perkataan "grant" dan bukannya "lease". Berbeza dengan "ceded", "grant" tidak semestinya ditakrifkan sebagai pemindahan kedaulatan. Jadi, walaupun "tiada bantahan daripada Sulu" menyokong pemindahan wilayah ini, namun pada masa yang sama British tidak membuat ketetapan yang jelas sehingga memerlukan pihak Sulu untuk membuat bantahan. Piagam 1881 dan Confirmatory Deed 1903 tidak dapat menyelesaikan persoalan kedaulatan kawasan utara dan timur Sabah. Begitu juga perjanjian yang dibuat oleh Jeneral Bates dan Sulu yang dikenali sebagai The Bates Treaty of 1899, Kesemua perjanjian serah kuasa ini tidak dapat menyelesaikan isu tuntutan disebabkan perbezaaan tafsiran dan terjemahan. Namun secara logik, kuasa imperial Barat hanya berminat untuk mendapatkan kedaulatan ke atas tanah-tanah Sulu. Pada masa yang sama, Sulu tidak mungkin menyerahkan kedaulatannya dengan mudah. Sulu telah berperang dengan kuasa imperial ini untuk sekian lama. Jadi, adalah perkataan "pajakan" atau sebarang perkataan yang bermaksud tidak melepaskan kedaulatan wilayahnya digunakan dalam sebarang perjanjian dengan kuasa-kuasa imperial. Perjanjian yang diadakan secara berterusan dengan Sulu sehingga 1962 juga boleh membuktikan kedaulatan Sulu masih terpelihara. Oleh itu, dalam kesimpulan ringkas berkenaan dengan Perjanjian 1878, Protokol Madrid 1885,The Bates Treaty of 1899 dan Confirmatory Deed 1903 tidak secara sah melepaskan kedaulatan Sulu kepada pihak-pihak terbabit jika berpandukan tafsiran Sulu ke atas perjanjian-perjanjian itu.

Pemerintahan dan pentadbiran Borneo Utara diletakkan di bawah Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU)bermula pada tahun 1881 sehingga 1946. Dalam tempoh itu, Borneo Utara telah dijajah oleh Jepun iaitu dari 1942 hingga 1945. Pada tahun 1888, Borneo Utara menjadi negeri naungan British (protectorate) menerusi Perjanjian Negeri Naungan 1888. Pada tahun 1946 pula, Borneo Utara diletakkan di dalam Koloni Mahkota menerusi Agreement for the Transfer od the Borneo Sovereign Rights and Assets from the British North Borneo Company to the Crown. Pada tahun yang sama, Labuan diletakkan di dalam Koloni Mahkota Borneo Utara sebelum menjadi wilayah persekutuan pada tahun 1984. Selain Labuan, perubahan wilayah juga berlaku apabila tujuh buah pulau di timur laut Borneo diserahkan kepada Filipina berdasarkan perjanjian yang ditandatangani antara British dan Amerika Syarikat. Selain itu, pihak SBBU turut memperoleh Sungai Putatan (1 Mei 1884), daerah Padas (November 1884), Sungai Kawang (21 Februari 1885) dan Pulau Mantanani (10 April 1885).

Rajah 6. Peta Borneo Utara yang ditadbir SBBU menunjukkan pembahagian negeri ini kepada 9 bahagian.

Secara perundangan asas, wilayah utara dan timur Borneo kekal di bawah Sulu sehingga tahun 1962 kerana Perjanjian 1962 menyentuh secara spesifik tentang North Borneo dan paling penting menyerahkan kedaulatannya kepada kerajaan Filipina. Namun begitu, British terutamanya tidak memerlukan status perundangan ini dan boleh mendapatkan kesahan perundangan mereka sendiri terutama berdasarkan hujah kuasa efektif mereka di sini untuk sekian lama. Kegagalan untuk pihak Sulu untuk mempertahankan wilayahnya turut menyebabkan kedaulatannya diragui apatah lama ia telah memakan tempoh masa yang panjang dan hilangnya hak Sulu untuk cuba mendapatkan hak kedaulatan itu kembali disebabkan penyerahan hak tersebut kepada Filipina.

Hujah di atas banyak menjurus kepada soal perundangan dan kekuatan kerajaan yang memerintah. Selain dua aspek ini, pemilikan wilayah pada hari ini turut berkisar kepada hak populasi di wilayah tersebut untuk memilih tuan atau kerajaan mereka. Pada tahap ini, Suruhanjaya Cobbold dan Misi PBB menjadi fokus utama. Selain itu, Malaya, Indonesia dan Filipina melalui Persetujuan Manila 1963 telah menyatakan komitmen mereka untuk mengikuti prinsip self-determination for the peoples of no-self-governing territories. Bagi maksud ini, Indonesia dan Filipina bersetuju dengan pembentukan Malaysia jika mendapat sokongan penduduk Borneo. Pada masa yang sama, Filipina menegaskan kemasukkan Borneo Utara dalam Malaysia tidak akan menarik balik tuntutannya ke atas Borneo Utara. Kedua-dua misi bagi mendapatkan pandangan penduduk Borneo memperoleh dapatan yang serupa iaitu penduduk Borneo Utara ingin merdeka menerusi Persekutuan Malaysia.

Setelah menjadi anggota Malaysia, Sabah telah mendapatkan hak seperti yang dijanjikan dan turut sama mengharungi suka duka bersama Malaysia. Penglibatan Sabah dalam politik di peringkat Persekutuan juga kuat. Rakyat Sabah turut menjalankan tanggungjawab mereka sebagai warganegara melalui pilihan raya, pentadbiran tempatan dan sebagainya. Dari aspek kehendak dan hak penduduk (self-determination), adalah sukar bagi tuntutan Filipina untuk diterima. Disebabkan itu juga, kerajaan Malaysia menganggap tuntutan ini bukan isu kerana Malaysia secara jelas memiliki kedaulatan Sabah. Pada masa yang sama, penduduk Sabah turut menyokong premis ini melalui ketaatan dan kesetiaan yang ditunjukkan kepada negara.


5.0 PENYELESAIAN

5.1 Penyelesaian Menerusi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)

Filipina telah lama mendesak supaya isu Sabah diselesaikan melalui ICJ namun ditolak oleh Malaysia kerana merasakan dakwaan Filipina adalah tidak berasas. Persetujuan membawa isu ini ke ICJ hanya menunjukkan kelemahan Malaysia. Walau bagaimanapun, jika Malaysia ingin mengelakkan risiko-risiko lain seperti pemusuhan dan peperangan serta tidak mahu isu ini menghalang hubungan antara dua negara, Malaysia boleh menyelesaikan isu ini di ICJ. Berdasarkan hujah perundangan atau moraliti lain, kedudukan Sabah dalam Malaysia adalah jelas. Adalah sukar untuk Filipina mendapatkan tuntutan mereka menerusi ICJ. Walau bagaimanapun, peluang untuk mendapatkan wilayag yang kaya ini menyebabkan Filipina untuk menggunakan apa-apa cara. Selain itu, kes tuntutan bertindih di ICJ boleh digunakan sebagai asas kepada isu tuntutan di Kepulauan Spratly. Meskipun ICJ boleh memberi kesimpulan terhadap tuntutan ini seperti mana isu Pulau Sipadan dan Ligitan, namun Malaysia tidak mungkin akan bersetuju dengan penyelesaian ini tanpa sebarang desakan yang lebih kuat. Desakan daripada Sulu ataupun Filipina tidak mungkin meletakkan Malaysia dalam keadaan yang terdesak. Hanya desakan daripada faktor-faktor luaran seperti isu Spratly ataupun faktor-faktor dalaman seperti desakan daripada rakyat Sabah sendiri akan mendorong Malaysia untuk ke ICJ.

5.2 Pemusuhan dan Peperangan

Penyelesaian yang paling mudah dan berkesan adalah melalui pemusuhan dan peperangan. Sejarah telah membuktikan peperangan boleh menyelesaikan pelbagai isu tuntutan wilayah. Pertuanan suatu wilayah ditentukan oleh kekuatan negara yang ingin mendapatkannya. Dalam hal ini, adalah tidak masuk akal bagi Malaysia untuk berperang dengan Sulu bagi memaksa Sulu menerima terma yang ditentukan Malaysia. Lawan yang patut adalah Filipina disebabkan tuntutan Sabah merupakan tuntutan Filipina. Jika peperangan meletus, Malaysia berupaya untuk mendapatkan lebih banyak kawasan jajahan malah boleh memperoleh keseluruhan Filipina dan menyatukannya di dalam Persekutuan. Hal ini pada masa yang sama dapat menyelesaikan masalah pemberontakan di selatan Filipina yang sejak sekian lama menolak kerajaan di Manila. Pada masa yang sama, risiko Filipina menawan Malaysia tetap ada. Jelas, penyelesaian ini sangat berkesan namun kedua-dua pihak perlu meneliti terlebih dahulu risiko yang bakal dihadapi.

5.3 Status Quo

Tuntuan Filipina ke atas Sabah bermula dari tahun 1963. Sejak itu hubungan Malaysia-Filipina masih dianggap baik. Malah kedua-dua negara boleh berkerjasam dalam pelbagai hal seperti dalam ASEAN atau isu di selatan Filipina. Oleh itu, pengekalan status quo mungkin dapat diterima oleh kedua-dua negara. Walau bagaimanapun, hal ini akan memberi kesan positif kepada Malaysia untuk jangka masa panjang. Semakin lama Sabah berada di dalam Malaysia, semakin sukar bagi Filipina untuk menuntutnya.


6.0 KESIMPULAN

Tuntutan Filipina berdasarkan fakta yang mudah dan jelas; (1) Brunei menyerahkan Sabah kepada Sulu, (2) Sulu memajakkan Sabah kepada Overbeck dan Dent, dan (3) Sulu menyerahkan Sabah kepada Filipina. Isu tuntutan terjadi disebabkan (2) iaitu berkisar tentang tafsiran perjanjian sama ada penyerahan atau pemajakan. Dalam hal ini, tafsiran pajakan adalah lebih kuat berbanding penyerahan. Hal ini tidak bermakna Sabah milik Sulu kerana Sulu perlu terlebih dahulu membuktikan (1). Pada masa yang sama, pendudukan British di Sabah bermula 1877 tidak dapat ditentang oleh Brunei ataupun Sulu. British juga telah berusaha untuk menyelesaikan isu ini melalui perundangan iaitu melalui perjanjian-perjanjian yang dibuat dengan Brunei, Sulu dan negara-negara asing lain. Pertikaian sama ada Perjanjian 1877 ataupun 1878 adalah sah atau tidak akan memberi kesan keapda perjanjian-perjanjian mendatang. Walau bagaimanapun, perjanjian mendatang tidak semestinya bergantung kepada perjanjian terdahulu apatah lagi kesahan perjanjian terdahulu berkisar tentang tafsiran. Sebagai contoh, kedaulatan Sulu yang terjejas akibat kekalahan dalam peperangan menyebabkan kapasitinya bertindak sebagai tuan kepada Sabah terjejas. Jika tuntutan Sulu ini dianggap sebagai sah, maka lebih banyak tuntutan yang boleh dibuat oleh pihak lain. Sebagai contoh Brunei masih boleh menuntut Sarawak jika dapat membuktikan bahagian-bahagian Sarawak diserahkan kepada Dinasti Brooke adalah suatu pajakan. Tuntutan ini boleh dibuat 1000 tahun lagi hanya disebabkan Brunei pernah menduduki Sarawak dan penyerahan kedaulatan kawasan itu tidak diperakui Brunei. Tuntutan Limbang baru sahaja diselesaikan pada tahun 2009 menunjukkan kepada kita Brunei boleh menuntut sebarang wilayah Sarawak jika ia kehendaki atas apa-apa alasan. Malaysia juga boleh menuntut wilayah-wilayah Segenting Kra di Thailand atas dasar wilayah-wilayah ini pernah dikuasai kerajaan Srivijaya ataupun Melaka. Perjanjian Inggeris-Siam mengenai sempadan boleh diragui kesahannya kerana perjanjian ini perlu dibuat dengan persetujuan Melaka.

Selain isu perundangan atau perakuan penyerahan kuasa kedaulatan, wujud juga beberapa kaedah lain bagi mendapatkan kedaulatan suatu kawasan. Penjajahan dan pengilhakan jelas boleh digunakan dalam kes Sabah. Penjajahan dan pengilhakan British di Sabah diprotes namun baik Sulu mahupun Filipina tidak mampu berbuat apa-apa. British pula telah berjaya menjalankan pentadbiran, undang-undang dan kuasa-kuasa lain sejajar dengan kedaulatan yang dimiliki di kawasan ini. Pada masa yang sama, penduduk Sabah telah menggunakan hak mereka dalam konteks self-determination bagi menentukan kerajaan pilihan mereka. Selain menyatakan hasrat mereka untuk menyertai Malaysia dalam Suruhanjaya Cobbold dan Misi PBB, rakyat Sabah turut memilih pemimpin dan kerajaan pilihan mereka menerusi pilihan raya. Rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam sama-sama membina negara Malaysia. Selain itu, aspek pengiktirafan kerajaan lain terhadap integriti wilayah Malaysia jelas mengukuhkan lagi kes Malaysia. Pengiktirafan ini boleh dilihat melalui pelbagai bentuk. Paling mudah adalah pengiktirafan kewujudan Malaysia yang tidak disanggah oleh kesemua anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Indonesia pada satu ketika bersama-sama Filipina membuat protes akan kewujudan Malaysia terutama berkaitan kemasukkan Sarawak dan Sabah ke dalam Persekutuan. Indonesia walau bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak meneruskan bantahan ini.

Jalan terbaik bagi Malaysia adalah Filipina menggugurkan tuntutan Sabah dan memberi fokus kepada menyemarakkan hubungan dua negara. Namun jika perkara ini terjadi, Sulu boleh sahaja membuat pusingan U dan menuntut sendiri Sabah daripada Malaysia. 1000 tahun kemudian apabila Filipina merasakan keuntungan untuk membuat tuntutan ini kembali, kerajaan Filipina dan Sulu boleh berkerjasama kembali. Hal ini kerana tuntutan Sabah hanya berkisar tentang Perjanjian 1878 semata-mata tanpa mengambil kira perjanjian-perjanjian lain ataupun sebarang perkara yang berlaku di Sabah di bawah British mahupun Malaysia.

Sebagai kesimpulan, Malaysia telah mempamirkan kedaulatan yang dimiliki ke atas Sabah. Sabah pula jelas merupakan komponen Persekutuan yang penting dan kekal taat setia kepada Malaysia. Sebarang usaha untuk memisahkan Sabah daripada Malaysia mestilah berpandukan pada dua inti pati ini iaitu kedaulatan Malaysia dan kemahuan Sabah. Tuntutan Filipina hanya laku jika dapat menjejaskan kedaulatan tersebut sama ada melalui rundingan mahupun peperangan. Bagi Malaysia, Sabah tidak mungkin diserahkan melalui rundingan. Oleh itu, hanya peperangan merupakan jalan bagi Filipina. Dalam inti pati kedua pula, Filipina mestilah meyakinkan Sabah dan mendapatkan sokongan mereka. Setakat hari ini, tuntutan Filipina tidak setanding dengan kedaulatan Malaysia dan kemahuan Sabah.

No comments:

Post a Comment